Friday 30 March 2012

Laras Bahasa


- Laras bahasa ialah cara atau gaya penggunaan sesuatu bahasa mengikut situasi bahasa itu digunakan serta bidang yang di perkatakan.
- Seseorang pengguna bahasa bahasa juga akan menggunakan bentuk bahasa yang sesuai dengan bidang yang diperkatakan. Contohnya, seseorang ingin memperkatakan tentang bidang ekonomi, kosa kata atau ungkapan yang akan digunakan mestilah berkaitan dengan bidang ekonomi seperti inflasi, penawaran, unjuran, para pelabur dan sebagainya.
- Dalam penggunaan bahasa, variasi bahasa pilihan yang sesuai dengan bidang dan situasi bahasa dikenal sebagai laras bahasa. Pengetahuan tentang laras bahasa amat penting kerana seseorang pengguna bahasa yang cekap akan memilih laras bahasa yang sesuai dengan situasi tertentu. Penggunaan laras bahasa yang salah menggambarkan ketidaksempurnaan penguasaan bahasa seseorang.
- Nik Safiah Karim menyatakan bahawa penggunaan laras bahasa berlainan ditentukan oleh dua faktor utama iaitu:
1.       1. Ciri keperihalan sesuatu peristiwa bahasa, terbahagi kepada dua iaitu:
·         Situasi luaran – latar belakang sosial dan kebudayaan pengguna sesuatu bahasa. Contohnya, bahasa klasik dikaitkan dengan suasana di istana
·  Situasi persekitaran – melibatkan aspek-aspek yang terlibat secara langsung dalam penggunaan bahasa. Antaranya ialah:
o   Cara penyampaian – lisan atau tulisan
o   Bahan yang diperkatakan – isi kandungan sesuatu bidang yang diperkatakan
o   Hubungan sosial dan peribadi antara pengguna bahasa – hubungan penghasil wacana dengan penerima wacana
o   Fungsi sosial perlakuan bahasa – penggunaan bahasa yang menghasilkan maksud atau perasaan
2.       2. Ciri linguistik – membezakan laras-laras bahasa dengan tinjauan daripada segi aspek bunyi, kosa kata, frasa dan ayat.

Antara laras bahasa yang terdapat dalam bahasa Melayu ialah :
v  Laras bahasa biasa
v  Laras bahasa sains
v  Laras bahasa ekonomi
v  Laras bahasa undang-undang
v  Laras bahasa agama
v  Laras bahasa sukan
v  Laras bahasa sastera (kreatif)
v  Laras bahasa perniagaan/iklan
v  Laras bahasa akademik
v  Laras bahasa media massa

Sesungguhnya, BAHASA JIWA BANGSA...


                                       **********************



   






Thursday 29 March 2012

Bahasa Formal & Bahasa Tidak Formal


BAHASA FORMAL
  •         Bahasa yang digunakan dalam situasi formal atau rasmi seperti dalam majlis atau upacara rasmi, mesyuarat, seminar, pendidikan dan pentadbiran.
  •           Contoh bahasa formal ialah bahasa baku dan bahasa istana.
  •           Juga dikenali sebagai bahasa terkawal.
  •           Bahasa terkawal adalah bentuk bahasa yang mementingkan aspek-aspek peraturan bahasa tersebut iaitu ayat dan imbuhannya gramatis, aspek sebutan dan intonasi serta pilihan kosa katanya tepat.

BAHASA TIDAK FORMAL
  •          Bahasa yang digunakan dalam situasi tidak formal atau tidak rasmi seperti dalam pertuturan atau perbualan harian, pergaulan biasaserta perhubungan antara ahli keluarga dan saudara-mara.
  •           Contoh bahasa tidak formal ialah bahasa mesra, bahasa slanga, bahasa basahan, bahasa pasar, bahasa halus, bahasa kasar dan dialek.
  •           Juga dikenali sebagai bahasa bebas.
  •           Bahasa bebas merupakan bentuk bahasa yang tidak mementingkan peraturan bahasa iaitu ayat dan imbuhannya tidak gramatis, aspek sebutan dan intonasinya salah serta pilihan kosa katanya tidak tepat dan bercampur aduk.

Contohnya:

Bahasa Bebas
Bahasa Terkawal
Ada pentadbiran mesra rakyat semua masalah rakyat cepat selesai. Hubungan rakyat dengan kerajaan juga mesra.
Dengan wujudnya pentadbiran mesra rakyat, segala masalah yang diutarakan oleh rakyat akan dapat diselesaikan segera. Hal ini akan meningkatkan hubungan mesra rakyat dengan kerajaan.

Wednesday 28 March 2012

Bahasa Tempelak

Semalam kita sudah tahu apa itu bahasa berbalik. Hari ini saya ingin berkongsi serba sedikit dengan anda semua tentang satu lagi ragam bahasa iaitu bahasa tempelak.


Tempelak dalam Kamus Dewan membawa maksud celaan atau cerca yang pedas dengan membangkit-bangkitkan keburukan atau kesalahan yang sudah-sudah. Oleh itu, bahasa tempelak pula merupakan bahasa yang mengandungi perkataan mencela atau mencerca seseorang seperti:


"kamu ni degil, dulukan saya dah cakap jangan buat seorang diri. Tetapi kamu buat juga. Sekarang, disebabkan kesalahan kamu seorang, kami semua pula yang kena menanggungnya"


"kau ni memang tak sedar di untung. Aku bela kau dari sebesar tapak tangan, sampailah dah besar panjang, ini balasan yang kau bagi kat aku"


Kebiasaannya, bahasa tempelak ini digunakan oleh seseorang ketika :

  • sedang marah 
  • mengungkit perbuatan seseorang yang keterlaluan
  • menempelak perbuatan seseorang yang melampau


Tuesday 27 March 2012

Bahasa Terbalik

Tahukah anda semua apa maksud bahasa terbalik? Mesti ramai yang tidak tidak tahukan. Bahasa terbalik merupakan salah satu cabang ragam bahasa. Bahasa Melayu kita kan sangat indah. Banyak lagi ragam bahasa yang terdapat dalam bahasa Melayu. 


     Bahasa terbalik ialah bahasa  yang menggunakan perkataan berakas (terbalik) daripada maksud yang dikehendakkan dan orang faham akan maksudnya. Maksud yang ingin disampaikan apabila menggunakan bahasa terbalik adalah lawan atau keterbalikkan daripada apa yang dituturkan.


     Kebiasaanya bahasa terbalik ini digunakan oleh para ibu untuk memarahi anaknya.



Emak  : Doh ning bakpe pulok mung nagih nie, Dolloh eh??
Dollah : Jatuh pokok mok eh. (sambil menangis teresak-esak)
Emak : Gi lah panjat lagi. Panjat tinggi-tinggi gitu.
Dollah : Mok ning, orang tengoh sakit gini, ye bleber pulok.
Emak : Mok dok maroh bakpe. Tadi mok maroh doh kang, jangang panjat  
             pokok tu. Mu panjat jugok.



     Sekiranya si ibu melarang anaknya melakukan sesuatu yang merbahaya, si anak tidak akan mengendahkan larangan itu. Sebaliknya, si anak tetap juga melakukannya. Tetapi, apabila si ibu menggunakan bahasa terbalik, si anak tidak pula melakukan perbuatan yang ingin dilakukannya.

Inilah salah satu ragam bahasa kita. Indahkan....

Sesungguhnya, BAHASA JIWA BANGSA

                                                            *************************

p/s: apabila dilarang, dia lakukan. bila suruh lakukan, dia tidak lakukan... ermmm.. pelik-pelik

Monday 26 March 2012

Dialek Terengganu & Dialek Kelantan

Dialek merupakan satu kelainan bahasa yang berbeza dari segi sebutan, tatabahasa dan kosa kata bahasa baku Sebetulnya, setiap dialek yang terdapat di Malaysia ini berbeza antara satu sama lain. Perbezaannya boleh meliputi aspek fonologi, morfologi mahupun semantik bagi sesuatu dialek dengan dialek yang lain.

     Beberapa contoh perbezaan dari segi aspek fonologi dialek Terengganu dengan dialek Kelantan tetapi membawa maksud yang sama.

DIALEK TERANGGANU
DIALEK KELANTAN
BAHASA MELAYU BAKU
Buoh pelang
Buoh pauh
Buah mempelam
Natang
Nate
Binatang
Jalang
Deghak
Bersiar-siar
Se
So
Satu
Betol
Jolo
Betul
Tanang
Tane
Tanam
Manih leting
Manih letin
Sangat manis
Thine
Thino
Betina (perempuan)
Baguh
Jjughuh
Baik
Majleh
Bekwoh
Kenduri/majlis
Cicang
Cice
Cincang
Bahang
Katok
Pukul
Nnegak
Cace
Berdiri tegak
Nneleh
Dene
Meneleh
Nganjing
Nganyi
Menyindir
Ripong
Ipo
Kumpul
Supik
Jabel
Plastik
Ngelok
Ngelik
Mengelak
Khabak
Rhukah
Memanjat
Rohok
Ghohok
Susah

      Banyak lagi perkataan-perkataan yang berlainan bunyi tetapi membawa maksud yang sama. 

      Sesungguhnya, BAHASA JIWA BANGSA....

                                                        *****************

p/s: ambe nok g jalang-jalang pusing pekang tanjung maling esok....

Friday 23 March 2012

Peribahasa Lambang Kesantunan Orang Melayu Berbahasa

Masyarakat Melayu Tradisional suatu ketika dahulu amat mementingkan penggunaan peribahasa dalam percakapan seharian. Hal ini demikian kerana pada mereka peribahasa merupakan bahasa yang halus serta indah digunakan. Selain itu, peribahasa juga melambangkan yang bahasa Melayu adalah bahasa yang sarat dengan kata kiasan tetapi pada masa yang sama peribahasa turut menitikberatkan kesantunannya ketika dituturkan.


Salah satu fungsi penggunaan peribahasa adalah menyindir atau menegur tingkahlaku seseorang tanpa menyinggung perasaan orang yang ditegur itu. Bahasa indah yang digunakan dalam peribahasa tersebut boleh mendamaikan perasaan seseorang itu dan menerima teguran dengan hati yang lapang tanpa ada perasaan marah. Inilah kesopanan masyarakat Melayu tradisional dalam berbahasa. 


Antara peribahasa yang digunakan untuk menyindir atau menegur seseorang dengan cara yang halus:



PERIBAHASA
MAKSUD
Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah ditepi pantai.
Secara tersiratnya, peribahasa ini mengandungi kata-kata sindiran yang membawa maksud member perangsang kepada orang yang lemah untuk melakukan sesuatu yang tidak biasa dilakukanya.
Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa
Mempunyai kata sindiran yang bertujuan untuk member peringatan kepada seseorang agar berhati-hati semasa bercakap agar tidak mengundang padah.

Sesungguhnya, BAHASA JIWA BANGSA

                                                      *********************

p/s: cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. apa maksud eh??? masa siang kita kena pandang aja,  tak leh dengar eh? macam tu ker? kompius.....







Thursday 22 March 2012

Panggilan Protokol

Petang tadi, saya ada menonton sebuah rancangan yang disiarkan secara langsung di RTM 1. Saya pun sudah lupa tajuk rancangan itu apa sebenarnya. Rancangan itu dipengerusikan oleh seorang pengacara yang dikenali ramai.


     Bahasa yang digunakan oleh pengacara itu sangat bagus. Akan tetapi yang saya perasan pengacara ini melakukan satu kesalahan bahasa iaitu dari segi sistem panggilan untuk pasangan rujukan kerhormat. Ucapannya berbunyi begini:


       " dengan segala hormatnya, majlis menjemput Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria 
               naik ke pentas utama untuk merasmikan majlis"


     Pengacara itu tidak menggunakan sistem panggilan pasangan rujukan kehormat. Hal sebegini sudah dianggap melanggar protokol majlis tersebut. Sepatutnya pengacara itu perlu berkata sebegini:


       "dengan segala hormatnya, majlis menjemput Mufti Perak, Sahibus-Samahah 
                Tan Sri Harussani Zakaria naik ke pentas utama untuk merasmikan majlis"


     Sebenarnya, banyak lagi panggilan pasangan rujukan kehormat yang perlu digunakan dalam sesuatu majlis. sistem panggilan tersebut hendaklah mengikut pangkat atau darjat seseorang itu. Antaranya ialah:


Bil
Rujukan hormat
Orang yang Disapa
1
Yang Mulia
Bergelar warisan seperti Tengku, Raja
2
Yang Amat Mulia
Anak kepada raja yang sedang memerintah
3
Yang Teramat Mulia
Kerabat raja yang bergelar
4
Duli Yang Teramat Mulia
Raja Muda
5
Yang Maha Mulia
Balu Almarhum Sultan
6
Duli Yang Maha Mulia
Sultan, Sultanah, Raja Perempuan
7
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda
Yang Dipertuan Agong
8
Yang Berbahagia
Bergelar anugerah seperti Tan Sri, Datuk, Profesor, Doktor
9
Yang Amat Berbahagia
Tun & Toh Puan
10
Yang Arif
Hakim
11
Yang Amat Arif
Ketua Hakim Negara
12
Yang Berhormat
Orang yang dipilih melalui proses tertentu seperti Wakil rakyat, Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Ahli Dewan Rakyat
13
Yang Amat Berhormat
Perdana Menteri
14
Yang Setia
Pegawai tentera dan polis
15
Yang Amat Setia
Ketua turus tentera & polis
16
Yang Berusaha
Pegawai yang tidak bergelar
17
Sahibus-Samahah
Mufti
18
Sahihul-Fadilah
Ulama, kadi
19
Sahibus-saadah
Pengarah Jabatan Agama
20
Tuan Yang Terutama
Yang Dipertua Negeri, Gabenor, Duta


p/s: jika seseorang itu tiada pangkat, cukup dengan panggilan Encik, Puan atau Cik dihadapan nama orang tersebut.