Friday 4 May 2012

Puisi & Lagu

Pada entry yang terakhir ini saya ingin berkongsi serba sedikit bahasa yang terdapat dalam sesebuah puisi.


Bahasa yang digunakan dalam sesebuah iu sangat mendalam serta indah kedengarannya. Kita memerlukan pemahaman yang sangat mendalam bagi memahami maksud yang ingin disampaikan oleh penyajak.


Baiklah, kita baca dan hayati dahulu sajak dibawah ini: 



Sajak Keindahan Yang Hilang – Shamsuddin Jaafar
I
Sayup-sayup undan tua berlagu hiba
terbang beriring di rembang petang
renik-renik mengirai bulu carik
melayang satu-satu berbaur debu
lesu berapungan di air lalu.
Daun-daun menghijau alangkah segar
kemilau danau disinar mentari
kali tenang betapa lembut mengalir ke muara
kedamaian melingkar rimba
lalu tumpah kasih nan jernih
erat bertaut cinta kasih.
Malam hiba dadanya ungu luka
pungguk tersedu pilu di atas batu
bulan tiada lagi mendandan wajah
bintang malam pudar sinarnya.
II
Orang bicara bulan bintang di makmal
pada buku, data dan komputer
lalu bulan dan cakerawala bisa diteroka
bisa kembara di planet dan angkasa.
Undan patah sayap gugur bulunya bertaburan
Suara siapa parau mendera di malam lara
Kali tenang tiba-tiba airnya bengis melanda
Kepada siapa anak-anak kota desa berhutang nyawa?
III
Bulan kini bukan menara kasih jernih
bintang-bintang bukan lagi saksi sumpah kekasih.

Maksud sajak di atas ialah :

Rangkap 1: digambarkan burung undan tua berada dalam keadaan yang tidak
                  bermaya kerana tubuhnya dicemari debu dan bulu-bulu carik.
Rangkap 2: dilukiskan pula tentang keindahan alam semula jadi yang dapat
                  menimbulkan kedamaian dan kasih sayang.
Rangkap 3: digambarkan pula burung pungguk yang menanti kehadiran bulan dan
                  bintang.
Rangkap 4: kemajuan yang dicapai oleh sains dan teknologi, manusia kini menganalisis
                  bulan melalui komputer, buku dan data-data yang dikumpul, sehingga
                  manusia dapat menguasai angkasa luas dan meneroka bulan yang selama
                  ini tidak pernah terimpikan.
Rangkap 5: penyair memaparkan segala macam kesan daripada penerokaan hutan
                 sehingga menerbitkan pelbagai pencemaran termasuk kejadian yang
                  meragut nyawa manusia yang tidak bersalah.
Rangkap 6: disimpulkan bahawa fungsi alam seperti bulan dan bintang yang asal ialah   
                 simbol kasih sayang tetapi kini telah hilang.

Sajak ini boleh disampaikan dengan pelbagai cara. Antaranya ialah mendeklamasikannya dengan gaya yang biasa. Sebagai contoh:


Selain itu, sesebuah sajak itu, turut boleh dinyanyikan. Sebagai contoh:


Indah bukan bahasa yang digunakan dalam sajak. Bahasanya mempunyai maksud yang tersirat serta pelbagai gaya bahasa yang digunakan mengindahkan lagi sesebuah sajak itu.


KALAU ADA SUMUR DI LADANG,

BOLEH SAYA MENUMPANG MANDI,

KALAU ADA UMUR YANG PANJANG.

BOLEH KITA BERJUMPA LAGI

Sesungguhnya, BAHASA JIWA BANGSA

p/s: sajak juga boleh dilakukan dengan melakonkannya, dinamakan sebagai puisidra....

Thursday 3 May 2012

Kesalahan @ Kelalaian

Universiti Pendidikan Sultan Idris(UPSI) iaitu tempat saya menuntut ilmu selama tiga tahun ini akan mengadakan Istiadat Konvokesyen Kali Ke-14 pada 7 hingga 9 Mei ini. Semua orang dijemput hadir bagi memeriahkan lagi pesta konvo pada kali ini. Jom kita lihat benner yang telah disiapkan oleh pihak universiti. 


Cantikkan banner ini. Pertama kali saya melihatnya, saya sangat terpesona. Akan tetapi, terdapat kesalahan bahasa yang pada banner tersebut. Anda semua boleh teka tidak apa kesalahan bahasa yang telah berlaku pada ayat dalam banner ini???


Kesalahan bahasa berlaku pada perkataan 'Ke 14'. Sebenarnya, untuk menunjukkan giliran, tanda (-) perlu diletakkan di antara perkataan 'ke' dengan angka. Sebenarnya, ejaan yang betul seperti ini Ke-14.


Nampak mudah sahajakan. Tetapi itulah hakikat yang sering dilakukan oleh masyarakat pada hari ini. Mungkinkah disebabkan sengaja dilakukan, terlepas pandang atau kelalaian??? Hanya pihak yang berkaitan yang dapat menjawabnya.


Sepatutnya perkara ini perlu dititikberatkan. UPSIkan merupakan sebuah universiti yang melahirkan guru daripada pelbagai bidang. Andai ini kesalahan yang sangat mudah dilakukan, apa pendapat orang luar ketika melihat banner ini? Mungkin persepsi mereka terhadap UPSI akan berubah.


Jadi, tepuk dada tanyalah selera.


Sesungguhnya, BAHASA JIWA BANGSA.


p/s: mesti banyak baju dijual pada pesta konvo nanti. Jom kita sama-sama memeriahkannya. :)

Wednesday 2 May 2012

Hebatnya dia......

Sebelum saya merepek lebih panjang, kita lihat dulu video bibawah ini.





Pertama kali melihat video ini, ayat pertama yang keluar dari mulut saya ialah “HEBATNYA DIA”. Mesti anda semua macam itu jugakan? Yalah, mana tidaknya, bangsa asing boleh menyampaikan pidato dalam bahasa Melayu. Langsung tiada kesalahan di atas struktur bahasa Melayu yang digunakan itu. Cuma pelatnya sahaja yang agak kelihatan.

Saya sangat kagum dengan saudara Hilal ini yang bersungguh-sungguh menyampaikan pidatonya. Mungkin dia telah mengambil masa yang sangat lama untuk mendalami bahasa Melayu agar dia dapat bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik sekali. Begitu semangat orang-orang asing seperti Hilal ini mempelajari bahasa Melayu. Tetapi, kita????

Ramai masyarakat kita pada hari ini sangat berbangga apabila boleh berkomunikasi dengan bahasa Inggeris. Kalau boleh dengan semua orang dia hendak bercakap menggunakan bahasa Inggeris. Tetapi, bila ada perkataan-perkataan yang tidak diketahui dalam bahasa Inggeris, dicampurnya pula dengan bahasa Melayu. Begitulah masyarakat kita pada hari ini. Tidak habis-habis untuk mengagung-aging bahasa asing. Bahasa sendiri tunggang-langgang. Baginya, apabila berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, orang lain akan kagum dengan dirinya. Maaflah, kawan. Tiada hendak dibanggakan dengan bahasa penjajah itu.

Memang bahasa Inggeris itu penting. Tetapi janganlah ketika bercakap dengan masyarakat sendiri pun menggunakan bahasa asing. Kalau semua orang menggunakan bahasa Inggeris, siapa pula hendak menggunakan bahasa Melayu? Tidak mustahil bahasa Melayu akan hilang didunia ini juga penggunaannya tidak berleluasa.

Bukalah mata wahai sahabat-sahabat sekalian. Tidak malukah kita bila golongan bangsa asing bersusah payah, berlumba-lumba mempelajari dan mendalami bahasa kita? Tetapi kita? Bukan hendak memartabatkan bahasa sendiri tetapi mengagungkan lagi bahasa orang lain. Tepuk dada, tanyalah selera.
Ingatlah, bahasa jiwa bangsa. Bahasa Melayu lambang jati diri orang Melayu. Bersamalah kita bersatu pada untuk kembali memartabatkan bahasa Melayu sehingga ke peringkat antarabangsa.

Sesungguhnya, BAHASA JIWA BANGSA

p/s: yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran... fikir-fikirkan dan renung-renungkanlah..

Tuesday 1 May 2012

Na na na na na Tranung Kiter...


Hari ini hari cuti am iaitu cuti Hari Pekerja. Kepada semua pekerja-pekerja, saya ucapkan selamat bercuti. Pekerja yang sepatutnya cuti, pelajar pun bercuti juga. Ya lahkan, kalau dah pekerja (pensyarah/cikgu) bercuti sudah semestinya pelajar akan turut serta cuti sekali. Kalau tidak, siapa yang hendak mengajar pelajar-pelajar semua?

Baiklah, sedang asyik melayan cerita di youtube, saya pun terklik pada video lagu Blues Terengganu Kita nyanyian kumpulan Iklim. Sebenarnya saya sudah lama tahu lagu ini. Lagu ini khas untuk rakyat-rakyat negeri Terengganu Darul Iman. Apabila mendengar lagu ini, orang cakap, semangat keterengganuan muncul dalam diri saya dengan tiba-tiba. Saya inikan anak jati negeri Terengganu.

Apa yang saya hendak ceritakan? Sabarlah dulu sahabat. Mari, kita ‘layan’ lagu ini dulu.


Apa yang saya ingin kongsikan bersama anda semua pada hari ini berkaitan dengan dialek Terengganu. Dialek Terengganu mempunyai beberapa pecahan kepada subdialek-subdialek yang dituturkan oleh rakyat Terengganu yang berlainan daerah. Antaranya ialah subdialek Terengganu, subdialek Ulu Telemong, subdialek Kuala Berang, subdialek Ulu Nerus dan banyak lagi. Setiap subdialek-subdialek yang terdapat dalam dialek Terengganu berbeza antara satu sama lain dari segi bahasa mahupun perkataan yang diujarkan.

Baiklah, saya akan senaraikan beberapa perkataan yang dituturkan dalam subdialek Terengganu dengan subdialek Ulu Nerus.

Dialek Terengganu
Dialek Ulu Nerus
Bahasa Melayu Standard
aku
akau
aku
dapo
dapao
dapur
gigi
gigai
gigi
mung
maông
mu (kamu)
gigeq
gigaiq
gigit

Selain itu, terdapat satu lagi ciri lain yang membezakan subdialek Ulu Nerus dengan subdialek Kuala Terengganu iaitu penyebutan [a] dalam bahasa Melayu standard. Cara penyebutan [a] bagi subdialek Ulu Nerus ialah [ô] manakala bagi subdialek Kuala Terengganu cara sebutannya ialah [ě]. [ê] untuk subdialek Ulu Telemong.

Walau apa-apa pun perbezaan dalam subdialek-subdialek yang ada dalam dialek Terengganu, kita sebagai anak jati Terengganu janganlah malu untuk menggunakan dialek tersebut. Walaupun ada suara-suara sumbang yang menyatakan bahawa dialek Terengganu adalah bahasa yang paling kasar, kita abaikan sahaja. Hal ini demikian kerana, dialek Terengganu merupakan lambang kepada kita sebagai rakyat/penduduk di negeri Terengganu. Pepatah ada menyatakan bahawa bahasa menunjukkan bangsa. 

Akan Tetapi, penggunaan dialek Terengganu hendaklah digunakan sesuai dengan masa dan konteksnya. Contohnya, kita boleh bercakap menggunakan dialek Terengganu dengan sesiapa yang juga bertutur menggunakan dialek Terengganu atau sesiapa yang boleh memahami dialek Terengganu. Penggunaan dialek boleh digunakan dalam situasa yang tidak formal.


Berkomunikasi dengan menggunakan dialek sangat digalakkan. Akan tetapi, kita janganlah melupakan terus penggunaan bahasa Melayu standard. Semasa bercakap dengan orang berlainan asal-usul, kita digalakkan menggunakan bahasa Melayu standard. Selain itu, kita amat digalakkan menggunakan bahasa Melayu standard dalam apa-apa juga situasi yang berbentuk formal.

Oleh itu, sebagai seorang rakyat yang mempunyai dialek-dialek yang tersendiri, kita janganlah melupakan dialek tersebut disamping masih mengekalkan penggunaan bahasa Melayu standard. Tepuk dada, tanyalah selera!!!!

Sesungguhnya, BAHASA JIWA BANGSA

p/s: ning aku nok kabo ke mung, aku bangge jadi anok jati Trengganung!!!!