Friday, 4 May 2012

Puisi & Lagu

Pada entry yang terakhir ini saya ingin berkongsi serba sedikit bahasa yang terdapat dalam sesebuah puisi.


Bahasa yang digunakan dalam sesebuah iu sangat mendalam serta indah kedengarannya. Kita memerlukan pemahaman yang sangat mendalam bagi memahami maksud yang ingin disampaikan oleh penyajak.


Baiklah, kita baca dan hayati dahulu sajak dibawah ini: 



Sajak Keindahan Yang Hilang – Shamsuddin Jaafar
I
Sayup-sayup undan tua berlagu hiba
terbang beriring di rembang petang
renik-renik mengirai bulu carik
melayang satu-satu berbaur debu
lesu berapungan di air lalu.
Daun-daun menghijau alangkah segar
kemilau danau disinar mentari
kali tenang betapa lembut mengalir ke muara
kedamaian melingkar rimba
lalu tumpah kasih nan jernih
erat bertaut cinta kasih.
Malam hiba dadanya ungu luka
pungguk tersedu pilu di atas batu
bulan tiada lagi mendandan wajah
bintang malam pudar sinarnya.
II
Orang bicara bulan bintang di makmal
pada buku, data dan komputer
lalu bulan dan cakerawala bisa diteroka
bisa kembara di planet dan angkasa.
Undan patah sayap gugur bulunya bertaburan
Suara siapa parau mendera di malam lara
Kali tenang tiba-tiba airnya bengis melanda
Kepada siapa anak-anak kota desa berhutang nyawa?
III
Bulan kini bukan menara kasih jernih
bintang-bintang bukan lagi saksi sumpah kekasih.

Maksud sajak di atas ialah :

Rangkap 1: digambarkan burung undan tua berada dalam keadaan yang tidak
                  bermaya kerana tubuhnya dicemari debu dan bulu-bulu carik.
Rangkap 2: dilukiskan pula tentang keindahan alam semula jadi yang dapat
                  menimbulkan kedamaian dan kasih sayang.
Rangkap 3: digambarkan pula burung pungguk yang menanti kehadiran bulan dan
                  bintang.
Rangkap 4: kemajuan yang dicapai oleh sains dan teknologi, manusia kini menganalisis
                  bulan melalui komputer, buku dan data-data yang dikumpul, sehingga
                  manusia dapat menguasai angkasa luas dan meneroka bulan yang selama
                  ini tidak pernah terimpikan.
Rangkap 5: penyair memaparkan segala macam kesan daripada penerokaan hutan
                 sehingga menerbitkan pelbagai pencemaran termasuk kejadian yang
                  meragut nyawa manusia yang tidak bersalah.
Rangkap 6: disimpulkan bahawa fungsi alam seperti bulan dan bintang yang asal ialah   
                 simbol kasih sayang tetapi kini telah hilang.

Sajak ini boleh disampaikan dengan pelbagai cara. Antaranya ialah mendeklamasikannya dengan gaya yang biasa. Sebagai contoh:


Selain itu, sesebuah sajak itu, turut boleh dinyanyikan. Sebagai contoh:


Indah bukan bahasa yang digunakan dalam sajak. Bahasanya mempunyai maksud yang tersirat serta pelbagai gaya bahasa yang digunakan mengindahkan lagi sesebuah sajak itu.


KALAU ADA SUMUR DI LADANG,

BOLEH SAYA MENUMPANG MANDI,

KALAU ADA UMUR YANG PANJANG.

BOLEH KITA BERJUMPA LAGI

Sesungguhnya, BAHASA JIWA BANGSA

p/s: sajak juga boleh dilakukan dengan melakonkannya, dinamakan sebagai puisidra....

Thursday, 3 May 2012

Kesalahan @ Kelalaian

Universiti Pendidikan Sultan Idris(UPSI) iaitu tempat saya menuntut ilmu selama tiga tahun ini akan mengadakan Istiadat Konvokesyen Kali Ke-14 pada 7 hingga 9 Mei ini. Semua orang dijemput hadir bagi memeriahkan lagi pesta konvo pada kali ini. Jom kita lihat benner yang telah disiapkan oleh pihak universiti. 


Cantikkan banner ini. Pertama kali saya melihatnya, saya sangat terpesona. Akan tetapi, terdapat kesalahan bahasa yang pada banner tersebut. Anda semua boleh teka tidak apa kesalahan bahasa yang telah berlaku pada ayat dalam banner ini???


Kesalahan bahasa berlaku pada perkataan 'Ke 14'. Sebenarnya, untuk menunjukkan giliran, tanda (-) perlu diletakkan di antara perkataan 'ke' dengan angka. Sebenarnya, ejaan yang betul seperti ini Ke-14.


Nampak mudah sahajakan. Tetapi itulah hakikat yang sering dilakukan oleh masyarakat pada hari ini. Mungkinkah disebabkan sengaja dilakukan, terlepas pandang atau kelalaian??? Hanya pihak yang berkaitan yang dapat menjawabnya.


Sepatutnya perkara ini perlu dititikberatkan. UPSIkan merupakan sebuah universiti yang melahirkan guru daripada pelbagai bidang. Andai ini kesalahan yang sangat mudah dilakukan, apa pendapat orang luar ketika melihat banner ini? Mungkin persepsi mereka terhadap UPSI akan berubah.


Jadi, tepuk dada tanyalah selera.


Sesungguhnya, BAHASA JIWA BANGSA.


p/s: mesti banyak baju dijual pada pesta konvo nanti. Jom kita sama-sama memeriahkannya. :)

Wednesday, 2 May 2012

Hebatnya dia......

Sebelum saya merepek lebih panjang, kita lihat dulu video bibawah ini.





Pertama kali melihat video ini, ayat pertama yang keluar dari mulut saya ialah “HEBATNYA DIA”. Mesti anda semua macam itu jugakan? Yalah, mana tidaknya, bangsa asing boleh menyampaikan pidato dalam bahasa Melayu. Langsung tiada kesalahan di atas struktur bahasa Melayu yang digunakan itu. Cuma pelatnya sahaja yang agak kelihatan.

Saya sangat kagum dengan saudara Hilal ini yang bersungguh-sungguh menyampaikan pidatonya. Mungkin dia telah mengambil masa yang sangat lama untuk mendalami bahasa Melayu agar dia dapat bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik sekali. Begitu semangat orang-orang asing seperti Hilal ini mempelajari bahasa Melayu. Tetapi, kita????

Ramai masyarakat kita pada hari ini sangat berbangga apabila boleh berkomunikasi dengan bahasa Inggeris. Kalau boleh dengan semua orang dia hendak bercakap menggunakan bahasa Inggeris. Tetapi, bila ada perkataan-perkataan yang tidak diketahui dalam bahasa Inggeris, dicampurnya pula dengan bahasa Melayu. Begitulah masyarakat kita pada hari ini. Tidak habis-habis untuk mengagung-aging bahasa asing. Bahasa sendiri tunggang-langgang. Baginya, apabila berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, orang lain akan kagum dengan dirinya. Maaflah, kawan. Tiada hendak dibanggakan dengan bahasa penjajah itu.

Memang bahasa Inggeris itu penting. Tetapi janganlah ketika bercakap dengan masyarakat sendiri pun menggunakan bahasa asing. Kalau semua orang menggunakan bahasa Inggeris, siapa pula hendak menggunakan bahasa Melayu? Tidak mustahil bahasa Melayu akan hilang didunia ini juga penggunaannya tidak berleluasa.

Bukalah mata wahai sahabat-sahabat sekalian. Tidak malukah kita bila golongan bangsa asing bersusah payah, berlumba-lumba mempelajari dan mendalami bahasa kita? Tetapi kita? Bukan hendak memartabatkan bahasa sendiri tetapi mengagungkan lagi bahasa orang lain. Tepuk dada, tanyalah selera.
Ingatlah, bahasa jiwa bangsa. Bahasa Melayu lambang jati diri orang Melayu. Bersamalah kita bersatu pada untuk kembali memartabatkan bahasa Melayu sehingga ke peringkat antarabangsa.

Sesungguhnya, BAHASA JIWA BANGSA

p/s: yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran... fikir-fikirkan dan renung-renungkanlah..

Tuesday, 1 May 2012

Na na na na na Tranung Kiter...


Hari ini hari cuti am iaitu cuti Hari Pekerja. Kepada semua pekerja-pekerja, saya ucapkan selamat bercuti. Pekerja yang sepatutnya cuti, pelajar pun bercuti juga. Ya lahkan, kalau dah pekerja (pensyarah/cikgu) bercuti sudah semestinya pelajar akan turut serta cuti sekali. Kalau tidak, siapa yang hendak mengajar pelajar-pelajar semua?

Baiklah, sedang asyik melayan cerita di youtube, saya pun terklik pada video lagu Blues Terengganu Kita nyanyian kumpulan Iklim. Sebenarnya saya sudah lama tahu lagu ini. Lagu ini khas untuk rakyat-rakyat negeri Terengganu Darul Iman. Apabila mendengar lagu ini, orang cakap, semangat keterengganuan muncul dalam diri saya dengan tiba-tiba. Saya inikan anak jati negeri Terengganu.

Apa yang saya hendak ceritakan? Sabarlah dulu sahabat. Mari, kita ‘layan’ lagu ini dulu.


Apa yang saya ingin kongsikan bersama anda semua pada hari ini berkaitan dengan dialek Terengganu. Dialek Terengganu mempunyai beberapa pecahan kepada subdialek-subdialek yang dituturkan oleh rakyat Terengganu yang berlainan daerah. Antaranya ialah subdialek Terengganu, subdialek Ulu Telemong, subdialek Kuala Berang, subdialek Ulu Nerus dan banyak lagi. Setiap subdialek-subdialek yang terdapat dalam dialek Terengganu berbeza antara satu sama lain dari segi bahasa mahupun perkataan yang diujarkan.

Baiklah, saya akan senaraikan beberapa perkataan yang dituturkan dalam subdialek Terengganu dengan subdialek Ulu Nerus.

Dialek Terengganu
Dialek Ulu Nerus
Bahasa Melayu Standard
aku
akau
aku
dapo
dapao
dapur
gigi
gigai
gigi
mung
maông
mu (kamu)
gigeq
gigaiq
gigit

Selain itu, terdapat satu lagi ciri lain yang membezakan subdialek Ulu Nerus dengan subdialek Kuala Terengganu iaitu penyebutan [a] dalam bahasa Melayu standard. Cara penyebutan [a] bagi subdialek Ulu Nerus ialah [ô] manakala bagi subdialek Kuala Terengganu cara sebutannya ialah [ě]. [ê] untuk subdialek Ulu Telemong.

Walau apa-apa pun perbezaan dalam subdialek-subdialek yang ada dalam dialek Terengganu, kita sebagai anak jati Terengganu janganlah malu untuk menggunakan dialek tersebut. Walaupun ada suara-suara sumbang yang menyatakan bahawa dialek Terengganu adalah bahasa yang paling kasar, kita abaikan sahaja. Hal ini demikian kerana, dialek Terengganu merupakan lambang kepada kita sebagai rakyat/penduduk di negeri Terengganu. Pepatah ada menyatakan bahawa bahasa menunjukkan bangsa. 

Akan Tetapi, penggunaan dialek Terengganu hendaklah digunakan sesuai dengan masa dan konteksnya. Contohnya, kita boleh bercakap menggunakan dialek Terengganu dengan sesiapa yang juga bertutur menggunakan dialek Terengganu atau sesiapa yang boleh memahami dialek Terengganu. Penggunaan dialek boleh digunakan dalam situasa yang tidak formal.


Berkomunikasi dengan menggunakan dialek sangat digalakkan. Akan tetapi, kita janganlah melupakan terus penggunaan bahasa Melayu standard. Semasa bercakap dengan orang berlainan asal-usul, kita digalakkan menggunakan bahasa Melayu standard. Selain itu, kita amat digalakkan menggunakan bahasa Melayu standard dalam apa-apa juga situasi yang berbentuk formal.

Oleh itu, sebagai seorang rakyat yang mempunyai dialek-dialek yang tersendiri, kita janganlah melupakan dialek tersebut disamping masih mengekalkan penggunaan bahasa Melayu standard. Tepuk dada, tanyalah selera!!!!

Sesungguhnya, BAHASA JIWA BANGSA

p/s: ning aku nok kabo ke mung, aku bangge jadi anok jati Trengganung!!!!



Monday, 30 April 2012

Perancangan Bahasa

Perancangan bahasa merujuk kepada usaha untuk memupuk, membaiki dan mengembangkan sesuatu bahasa ke arah bahasa moden. Antaranya ialah:
  • membuat keputusan dasar tentang bahasa
  • menyeragamkan variasi bahasa dan memupuk usaha pengembangan bahasa
  • meninjau semula hasil dan kesan aktiviti perancangan bahasa 
  • mengumpulkan data dan menyusun strategi untuk memajukan bahasa



Antara ketiga-tiga aktiviti perancangan bahasa tersebut, saya hanya memilih satu sahaja untuk memperincikan dengan menyeluruh. Saya memilih Perancangan Taraf Bahasa.
Perancangan taraf bahasa
Perancangan taraf bahasa merujuk kepada usaha meluaskan dan meningkatkan taraf penggunaan atau peranan bahasa dalam masyarakat. Di Malaysia, usaha ini melibatkan pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar dalam sistem pendidikan negara.
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu menetapkan bahawa;
Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen”.
Penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan disertai dengan syarat-syarat seperti berikut:
  • ·         Tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan (bagi apa-apa maksud selain maksud rasmi) atau daripada mengajar atau belajar apa-apa bahasa lain.
  • ·         Selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka dan selepas itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, bahasa Inggeris boleh digunakan dalam kedua-dua Majlis Parlimen, dalam Dewan Negeri tiap-tiap negeri, dan bagi segala maksud rasmi yang lain.
  • ·         Selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka dan selepas itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, naskah yang sahih:
§  Bagi segala Rang Undang-undang yang hendak dikemukakan atau pindaan-pindaan mengenainya yang hendak dicadangkan dalam mana-mana Majlis Parlimen
§  Bagi segala Akta Parlimen dan segala perundangan kecil yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan, hendaklah dalam bahasa Inggeris
  • ·         Selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka dan selepas itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, segala perbicaraan dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah hendaklah dijalankan dalam bahasa Inggeris.
Antara perkara penting yang termaktub dalam Perkara Perlembagaan Malaysia termasuklah:
  • ·         Pertimbangan sewajarnya untuk mewujudkan satu bahasa rasmi negara iaitu bahasa Melayu.
  • ·         Pertimbangan sewajarnya untuk memelihara bahasa ibunda kaum lain yang tinggal di negara ini supaya tidak ditindas, iaitu bahasa ibunda masing-masing boleh digunakan dalam hal tidak rasmi tau tidak formal dan pemelajaran bahasa ibunda tidak dilarang.
  • ·           Penukaran bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kepada bahasa Melayu dilakukan secara beransur-ansur untuk membolehkan bahasa Melayu berkembang sebelum dapat mengambil tugas bahasa Inggeris.
Bahasa Melayu dipilih menjadi bahasa kebangsaan atas dasar bahasa Melayu merupakan:
  • ·         Bahasa kaum majoriti negara ini
  • ·         Bahasa yang menjadi alat komunikasi antara kaum
  • ·         Bahasa kaum peribumi yang telah meluas penggunaannya.
Tujuan bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan adalah untuk:
  • ·         Mencapai integrasi nasional
  • ·         Mewujudkan identiti nasional melalui bahasa Melayu
Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 menguatkuasakan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, iaitu semua urusan kerajaan sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa awam mesti menggunakan bahasa Melayu.


Akta ini memberikan beberapa kekecualian kepada maksud “rasmi” dengan memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membenarkan penggunakan bahasa Inggeris dalam perkara-perkara tertentu seperti yang berikut:
  • ·         Undang-undang
  • ·         Hubungan dengan negara asing
  • ·         Latihan yang disampaikan oleh pakar asing
  •          Urusan Jabatan Hasil Dalam Negeri dalam perkara-perkara tertentu seperti yang berikut
  •      laporan, preskripsi dan arahan pembedahan       
Dasar Pelajaran Kebangsaan yang dinyatakan dalam Laporan Razak (1956) dan kemudian dipertegas dalam Laporan Rahman Talib (1960) memperakukan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara.

Laporan Razak mengesyorkan:
  • ·         Bahasa Melayu mestilah dipelajari di semua sekolah dan dijadikan syarat bantuan oleh kerajaan kepada semua sekolah
  • ·         Bahasa Melayu dijadikan satu pelajaran yang mustahak untuk mendapatkan Sijil Rendah dan Sijil Pelarajan Kebangsaan
Laporan Rahman Talib mengesyorkan supaya kelulusan dalam bahasa Melayu sebagai syarat wajib untuk memasuki mana-mana skim latihan perguruan.

Dasar bahasa Melayu di universiti tempatan pula mewajibkan pelajar yang mengikuti pengajian di universiti mestilah mendapat kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.

Akta Pendidikan 1996 mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama untuk semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan, kecuali sekolah jenis kebangsaan. Bagi institusi pendidikan yang bahasa penghantar utamanya bukan bahasa Melayu, bahasa Melayu hendaklah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib.


Sesungguhnya, BAHASA JIWA BANGSA
 p/s: perincian terhadap dua lagi aktiviti perancangan bahasa tersebut akan saya pertimbangkan. heheheheh

Friday, 27 April 2012

Insya-Allah versi Melayu

Ada sesiapa yang kenal dengan Maher Zain? Tipulah kalau ada yang tidak kenal dengan orang bernama Maher Zain. Saya sangat minat dengan Maher Zain. Eh, silap. Saya minat lagu dia Maher Zain, bukan Maher Zain. Jangan salah sangka ya.


Maher Zain berasal dari Lubnan. Kehidupannya suatu ketika dahulu sudah jauh terpesong dari ajaran Islam. Namun, setelah mendapat hidayah daripada Allah, dia kembali ke pangkal jalan. Eh, kejap. Kenapa tiba-tiba saya cerita pasal latar belakang Maher Zain pula. Maaf, saya sudah terpesong dari niat asal saya.


Sebenarnya, entry kali ini saya ingin menyatakan kekaguman saya kepada Maher Zain. Kenapa? Kerana, dia sanggup mempelajari serba sedikit tentang Bahasa Melayu apabila orang Melayu sangat meminati lagu-lagunya terutama lagu Insya-Allah. 


Jom, kita hanyati lagu Insya-Allah dalam versi bahasa Inggeris dahulu.




Sedapkan lagu Maher Zain ini. Banyak mesej yang ingin disampaikan dalam lagu ini. Maher Zain menjadi terkenal dengan lagu-lagu yang berunsurkan ketuhanan. 


Sambutan yang sangat menggalakkan daripada penduduk Malaysia telah mendorong Maher Zain untuk mempelajari serba sedikit tentang bahasa Melayu. Sekarang, dia sudah boleh bertutur dalam bahasa Melayu walaupun hanya sedikit. Sebagai penghormatan kepada orang Melayu, Maher Zain telah menyanyikan lagu Insya-Allah dalam versi bahasa Melayu. Hebatkan Maher Zain ini.


Jom, kita dengar lagu Insya-Allah dalam versi bahasa Melayu pula..


Hah??? macam mana? sedapkan lagu ini? Walaupun sudah ditukar bahasanya, lagu ini masih lagi sedap untuk didengar malah kita sebagai orang Melayu semakin faham dengan kandungan lagu tersebut.


Orang luar pun sanggup untuk mempelajari dan berminat untuk bertutur dalam bahasa Melayu. Inikan kita pula yang sudah sememangnya orang Melayu. Kebanyakan orang Melayu sekarang lebih berminat untuk bertutur dalam bahasa Inggeris. Baru nampak international katanya. Tidak usah, hendak dibanggakan sangatlah dengan bahasa penjajah itu. Bukan bahasa tersebut tidak penting. Memang tidak dapat hendak dinafikan lagi bahawa bahasa Inggeris adalah sangat penting kerana bahasa tersebut telah menjadi bahasa perhubungan internasional. Tetapi, jangan asyik hendak mengejar mempelajari bahasa asing, bahasa sendiri tunggang-langgang. Bak kata pepatah yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. 


Jadikan Maher Zain ini sebagai contohnya. Akhir kata, tepuk dada, tanya selera....


Sesungguhnya, BAHASA JIWA BANGSA


p/s: teringin nak jumpa maher zain secara langsung. :)